Wednesday, January 25, 2012

Cuci Mata

Perbezaan remaja dahulu dan sekarang .

Contoh Karangan : Langkah - Langkah Mengatasi Kegiatan Jenayah dalam Kalangan Remaja

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak leluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala ini daripada kehidupan seharian.


Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam kalangan remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Tegasnya, ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada remaja dan anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat tinggal dan tempat mengadu masalah.


Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak berkuasa perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara langkah untuk mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja yang ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah dalam kalangan remaja.


Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja. Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah kearah mambentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.


Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di sekolah seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.


Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubat”. Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan jenayah dalan kalangan remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan salah satu langkah prakmatik dan dogmatik dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.


Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan menjatuhkan imej negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya setiap orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah di Malaysia. Hal ini sekali gus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti.

Kejadian Di Luar Dugaan






salah siapa semua ini ?
adakah anda telah melaksanakan tugas anda dengan sempurna ?


Masalah Pokok Bagi Remaja

BOSAN

Statistik Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja

Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.

Data dan statistik banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan bagi kesalahan jenayah harta benda serta kekerasan. Daripada jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17% adalah remaja dan dalam kalangan remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.

Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).

Jenayah yang dilakukan oleh remaja bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja Cina dan 47 adalah remaja kaum India.

Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992.

Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes).

Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.

Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989, 3763 kes pada tahun 1990 dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.

Satu lagi tabiat remaja yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian di dua buah rumah pangsa di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).



Remaja dan sikap terbuka

KETERBUKAAN tidak sama dengan fahaman liberal. Liberal tidak menjadikan agama dan nilainya sebagai pedoman. Ia berasaskan pendekatan empiris (logik akal) dan tidak mengambil pertimbangan al-Quran sebagai sandaran.

Keterbukaan bermakna kita memperkongsi perkara-perkara yang baik dan bermanfaat daripada sumber tamadun, budaya dan tradisi lain yang sifatnya menyumbang.

Apabila para sahabat mencadangkan kepada Nabi SAW supaya tawanan perang Badar yang mahir membaca dan menulis mengajar anak-anak orang Islam sebagai syarat pembebasan mereka, baginda menyetujuinya.

Dikatakan 17 anak-anak Islam yang belajar membaca dan menulis. Ini menunjukkan keterbukaan dan kebijaksanaan baginda membawa manfaat kepada anak-anak Islam ketika itu, walaupun daripada tawanan perang.

Al-Biruni seorang tokoh ilmuwan Islam yang unggul mempelajari bahasa Hindi apabila menjelajah India. Hasil penguasaan bahasa itu, beliau mendapat ilmu dan maklumat mengenai matematik, sains dan perubatan. Kemudiannya ilmu itu diolah supaya selari dengan syarak dan menjadi sebahagian daripada khazanah ilmu kita.

Tamadun Cina sejak awal lagi menghasilkan kertas, mesin cetak dan bahan kimia. Ia amat bermanfaat bagi orang Islam merakamkan al-Quran dan menghasilkan sebuah mushaf (kitab).

Ini menunjukkan keterbukaan Islam dalam tradisi Islam terhadap ilmu-ilmu berbanding yang menyumbang dan bermanfaat dari Barat serta tamadun lain.

Keterbukaan bagi remaja tidak harus menganggap yang Barat itu segala-galanya. Kekaguman kita terhadap kemajuan dan kemodenan mereka harus diiringi keupayaan menyaring supaya sesuatu yang bermanfaat memberi manfaat yang tinggi.

Golongan remaja amat terdedah untuk meneroka ilmu pengetahuan daripada segala benua dan tamadun. Bersikap terbuka kepada hal-hal yang positif menyumbang dan bermanfaat setelah sekian lama menjadi resmi dalam pembangunan tamadun Islam.

Bersikap terbuka bukan bermakna kita menerima apa sahaja daripada mana-mana budaya dan tamadun.

Mengambil ilmu dari Barat dan Timur harus selari dengan kepentingan nilai-nilai Islam yang mendukung kesejahteraan manusia dan keadilan sejagat.

Namun, dalam masa yang sama, remaja tidak wajar bersikap tertutup dalam lingkungan berfikir terbatas sehingga tidak mampu mengolah perubahan zaman.

Perubahan bagi sesuatu zaman harus didukung nilai-nilai yang sifatnya fitrah. Walaupun teknologi berkembang dalam keadaan yang luar biasa, ia selamanya dilihat sebagai alat, bukan matlamat.

Ia digunakan berasakan pertimbangan yang baik dan memberi kebaikan. Usaha membangunkan teknologi tinggi mesti diimbangi dengan sentuhan keinsanan yang tinggi.



Batasan pergaulan lelaki, wanita bukan mahram

ALAM remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”
Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’

Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.

Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.


Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:

1) Pandangan
2) Pertemuan
3) Percakapan
4) Berjabat tangan
5) Bersentuhan badan

Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.

Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka...”

Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka...” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.

Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong mereka ke arah kancah maksiat.

Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.

Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.

Dalam hal ini Rasuluallah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.


Tuesday, January 3, 2012

Kenali Tokoh Remaja Islam , Usamah bin Zaid



Usamah bin Zaid merupakan tokoh Islam yang tidak asing lagi. Beliau merupakan panglima perang yang dikasihi Rasulullah sejak beliau masih bayi. Beliau menjadi panglima perang semasa usianya baru berumur 19tahun namun kehebatannya tidak bisa ditandingi.

Ibu beliau bernama Ummu Aiman wanita Habsyi yang diberkati dan ayahandanya Zaid bin Haritsah yang merupakan anak angkat Rasulullah sebelum Zaid memeluk Islam.

Sejak Usamah meningkat remaja, sifat-sifat dan pekerti yang mulia sudah kelihatan pada dirinya, yang memang patut menjadikannya sebagai kesayangan Rasulullah. Dia cerdik dan pintar, bijaksana dan pandai, takwa dan wara. Ia sentiasa menjauhkan diri dari perbuatan tercela.

Waktu terjadi Perang Uhud, Usamah bin Zaid datang ke hadapan Rasulullah saw. beserta serombongan anak-anak sebayanya, putra-putra para sahabat. Mereka ingin turut jihad fi sabilillah. Sebagian mereka diterima Rasulullah dan sebagian lagi ditolak karena usianya masih sangat muda.

Usamah bin Zaid teramasuk kelompok anak-anak yang tidak diterima. Karena itu, Usama pulang sambil menangis. Dia sangat sedih karena tidak diperkenankan turut berperang di bawah bendera Rasulullah.

Dalam Perang Khandaq, Usamah bin Zaid datang pula bersama kawan-kawan remaja, putra para sahabat. Usamah berdiri tegap di hadapan Rasulullah supaya kelihatan lebih tinggi, agar beliau memperkenankannya turut berperang.

Rasulullah kasihan melihat Usamah yang keras hati ingin turut berperang. Karena itu, beliau mengizinkannya, Usamah pergi berperang menyandang pedang, jihad fi sabilillah. Ketika itu dia baru berusia lima belas tahun.

Ketika terjadi Perang Hunain, tentera muslimin terdesak sehingga barisannya menjadi kacau balau. Tetapi, Usamah bin Zaid tetap bertahan bersama-sama denga ‘Abbas, Sufyan bin Harits, dan enam orang lainnya dari para sahabat yang mulia. Dengah kelompok kecil ini, Rasulullah berjaya mengembalikan kekalahan para sahabatnya menjadi kemenangan.

Dalam Perang Mu’tah, Usamah turut berperang di bawah komando ayahnya, Zaid bin Haritsah. Ketika itu umurnya kira-kira delapan belas tahun. Usamah menyaksikan dengan mata kepala sendiri tatkala ayahnya tewas di medan tempur sebagai syuhada. Tetapi, Usamah tidak takut dan tidak pula mundur. Bahkan, dia terus bertempur dengan gigih di bawah komando Ja’far bin Abi Thalib hingga Ja’far syahid di hadapan matanya pula.

Setelah peperangan, Usamah kembali ke Madinah dengan menyerahkan kematian ayahnya kepada Allah SWT. Jasad ayahnya ditinggalkan di bumi Syam (SYiria) dengan mengenang segala kebaikan almarhum.

Pada tahun kesebelas hijriah Rasulullah menurunkan perintah agar menyiapkan bala tentera untuk memerangi pasukan Rum. Dalam pasukan itu terdapat antara lain Abu Bakar Shidiq, Umar bin Khattab, Sa’ad bin ABi Waqqas, Abu Ubaidah bin Jarrah, dan lain-lain sahabat yang tua-tua.

Rasulullah mengangkat Usamah bin Zaid yang muda remaja menjadi panglima seluruh pasukan yang akan diberangkatkan. Ketika itu usia Usamah belum melebihi dua puluh tahun.

Usamah terus maju membawa pasukan tentara yang dipimpinnya. Segala perintah Rasulullah kepadanya dilaksanakan sebaik-baiknya. Tiba di Balqa’ dan Qal’atud Daarum, termasuk daerah Palestina, Usamah berhenti dan memerintahkan tentaranya berkemah. Kehebatan Rum dapat dihapuskannya dari hati kaum muslimin. Lalu, dibentangkannya jalan raya di hadapan mereka bagi penaklukan Syam (Syiria) dan Mesir.

Usamah berjaya kembali dari medan perang dengan kemenangan gemilang. Mereka membawa harta rampasan yang banyak, melebihi perkiraan yang diduga orang. Sehingga, orang mengatakan, “Belum pernah terjadi suatu pasukan bertempur kembali dari medan tempur dengan selamat dan utuh dan berhasil membawa harta rampasan sebanyak yang dibawa pasukan Usamah bin Zaid.”


Sumber:http://krimns.wordpress.com/2011/03/02/kenali-tokoh-remaja-islam-%E2%80%9Cusamah-bin-zaid-panglima-kecintaan-rasul%E2%80%9D/

Definisi Remaja



Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun atau 13 hingga 25 tahun. Perkataan 'remaja' berasal daripada perkataan latin bermakna menuju kearah kematangan. golongan ini sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa. Dari sudut perkembangan manusia, remaja merujuk kepada satu peringkat perkembangan manusia, iaitu peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa.


Semasa seseorang itu mengalami zaman remaja dia akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan jasmani, sosial , dan bahasa. Akibat daripada itu, orang remaja merupakan orang yang emosinya tidak stabil, dan sentiasa "bermasalah".


Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Remaja